Video Klip Pilihan

Sunday, November 15, 2009

|| Sampaikanlah... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Ku akui
Hati sering berbicara
Sukma mengkritik benci
Pilu menyorot
Maksiat tegar
Dosa memugar
Diangkat diktator
Rakus membina batuan
Remeh memupuk naluri

Akhir zaman
Manusia berlaku jaguh
Dosa bersalut maksiat
Tanggal malu
Terbang maruah
Seiring api murka
Bersemarak lolongan
Neraka bertakhta
Tersedia buat mereka

Di sana sini
Tidak bersembunyi
Sesuai ditonton
Semua lapisan
Tiada pembela
Tampil membenteng
Menyumpah di sukma
Takkan berkesudahan

Bilakah agaknya
Kan lahir asadullah
Tiada silu terkaku
Tiada rapuh berguru
Tegas mendaulat
Mengarak obor
Kesucian AL-ISLAM


Sampaikanlah
Arahan ringkas
Padat bermakna
Rantaian bertali arus
Warisan mulia
Di anjung kasih-NYA

Muthaqqaf Azhari,
Teratak Sri Pulai Perdana.



Kata Muthaqqaf : Monolog hati sering mengungkapkan kebenaran kerana hati itu suci sesuci kain yang putih. Namun apabila nafsu yang berkuasa, gelap gempita menyelubungi andai ianya tidak dirantai dengan sebaiknya. Rona-rona alam banyak memberikan ilham. Moga lebih berdedikasi untuk membantu agama-NYA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, November 06, 2009

|| Selesai Dengan IzinNYA ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Satu persatu selesai. Tanpa disangka-sangka kelewatan untukku mendapatkan sebarang pekerjaan sebenarnya membuka peluang kepadaku untuk mengisinya dengan menyelesaikan perkara-perkara mendatang. Perkara yang menjadi prioriti sebagai syarat untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

Sementara menantikan panggilan dari mana-mana syarikat dan jabatan kerajaan mahupun swasta melalui permohonan yang telah dibuat. Insya-ALLAH, kala ini kesabaran adalah kunci terbaik bagi meredakan keadaan. Di akhir episod penantian ini, pasti akan ada sinar kegembiraan yang menanti di hadapan.

Lesen kereta yang dinanti-nantikan selama ini selesai jua akhirnya. Meski masih diperingkat percubaan selama 2 tahun sekurang-kurangnya memudahkan urusan bekerja, belajar dan berjuang untuk ISLAM kelak. Bersyukur adalah kunci segala rezeki.

Meski urusan untuk menukar lesen yang diperolehi dari Jabatan Pengangkutan Jalan Republik Arab Mesir begitu sukar, ia merupakan lumrah untuk mendapatkan sesuatu yang berharga. Kemanisannya apabila segala urusan berjaya dilalui dan matlamat mendapatkannya tercapai.

Buat sahabat-sahabat yang juga mempunyai lesen (kelas D dan B) lepasan Mesir dan merancang untuk mendapatkan lesen Malaysia bolehlah merujuk saya nanti di talian 0197371725. Memang merumitkan kerana ianya memerlukan kita turun ke Kedutaan Besar Mesir Di Malaysia di Jalan Ampang Hilir melainkan apabila kalian telah mendapatkan lesen antarabangsa ketika di Mesir lagi.

Pada sekitar tahun 2006 pernah diadakan kursus pra perkahwinan di Mesir yang mana membuka ruang dan peluang kepada para siswa siswi di Mesir menduduki kursus tersebut. Sebagaimana sedia maklum, telah disyaratkan kepada setiap pasangan yang berkahwin agar memiliki sijil kursus pra perkahwinan sebelum menikah. Ditambah dengan menjalani ujian HIV bagi memastikan setiap pasangan negatif HIV.

Terima kasih kepada Saudari Noor Adilah Kamaruddin yang merupakan siswi perubatan HUKM yang sudi berkongsi maklumat berkenaan kursus tersebut yang bertempat di HUKM baru-baru ini.

Ujian, cabaran dan musibah tidak akan pernah jemu menerjah ke ruang hidup orang-orang yang beriman. Selepas satu, pasti akan muncul yang lain sebagai tanda kasih dan sayang ALLAH kepada hamba-hambaNYA yang dikasihi. Selain sebagai penghapus dosa-dosa kecil yang teramat banyak kita lakukan saban hari.

Moga keampunan ALLAH sentiasa merantai diri kita saban waktu dengan basahan zikrullah, istighfar dan taubat yang tidak berkesudahan sehinggalah dijemput ke hadrat ILAHI dengan penuh keimanan dan keinsafan.

Kata Muthaqqaf : Sepenuh kesyukuran kepada ALLAH atas segala macam ranjau yang ditimpakan. Itupun diri ini masih leka dan alpa dengan amanah yang dituntut. Moga diri ini terus thabat dalam meneruskan perjuangan sebagai seorang hamba ALLAH, seorang pejuang ISLAM dan seorang saudara seagama kepada saudaranya yang lain.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, October 30, 2009

|| Sebelum Aku Bernikah ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Insyaallah, hari ini dan esok (31 Oktober dan 1 November) saya akan mengikuti kursus perkahwinan yang akan diadakan di dewan auditorium Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Kursus pada hari pertama akan bermula pada jam 2 petang dan berakhir pada jam 6 petang. Manakala hari kedua seawal jam 8 pagi dan berakhir pada 6 petang. Kursus ini tidak lain adalah sebagai prosedur seseorang rakyat Malaysia beragama ISLAM yang ingin berumahtangga.

Selain itu disyaratkan juga setiap pasangan menjalani ujian HIV bagi memastikan masing-masing negatif virus pembunuh itu. Semoga ALLAH melindungi seluruh umat ISLAM dari musibah tersebut selagi mana kita berpegang teguh dengan ajaran ISLAM yang syumul.

Di sepanjang keberadaan saya di Kuala Lumpur ini, insyaallah saya menumpang di rumah sahabat serumah ketika di Mesir dahulu. Dia yang lebih dikenali dengan 'Butang Mutiara' di Facebook dan Friendster. Terima kasih kerana sudi menerima sahabatmu ini sebagai tetamu.

Semoga 2 hari di sepanjang kursus ini dapat memberikan ilmu yang bermanfaat dan berguna sebelum kami melangkah ke alam rumahtangga yang semestinya penuh dengan onak ranjaunya.


Doa kalian sentiasa diharapkan agar diri ini dapat terus teguh atas landasan memperjuangkan ISLAM meski badai melanda. Insyaallah moga ALLAH thabatkan hati-hati kita semua.

Selamat berkursus kepada diriku!

Kata Muthaqqaf : Moga jodoh berkekalan hingga disatukan kelak. Buat tunangku, bersabarlah untuk melalui bulan-bulan terakhir dengan penuh ketaatan kepadaNYA menjauhi yang dilarangNYA. Fi amanillah...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, October 24, 2009

|| Teringin Kembali Seperti Dulu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sekian lama blog peribadiku ini tidak dikemaskini. Semenjak diri ini ditimpa musibah 3 minggu lepas kemalasan mula menyelubungi. Akan tetapi hasrat di hati ingin kembali seperti sediakala terasa membuak-buak.


Mungkin kerana diri ini leka daripada tugasan membantu kerja-kerja ISLAM, maka inilah balasannya. Apabila nikmat kesihatan telah ditarik, sesalan sudah tidak berguna lagi.

Apapan suratan yang telah ditetapkan oleh yang MAHA ESA ku akur.

Selepas 2 minggu berbalut dan bersimen ALHAMDULILLAH kerana tulang yang retak semakin sembuh. Akan tetapi doktor masih tidak membenarkan balutan tersebut dibuka. Doktor menasihatkan agar diteruskan balutan bersimen tersebut hingga ke 3 minggu mendatang.

Kemudian barulah dibenarkan untuk dibuka sendiri seterusnya pergi lagi sekali ke hospital untuk menjalani pengimejan sinar-x bagi melihat perubahan terkini terhadap tulang dan kaki kiri yang terseliuh itu.

Dapat ku rasakan ianya masih belum sembuh sepenuhnya. Namun kedegilan ini mengatasi segalanya. Meskipun begitu tidak bermakna aku benar-benar ingin kembali lasak dan aktif ke sana sini sehingga lupa bahawa aku masih belum kebah.

Hari ini adalah hari percubaan untuk aku. Aku telah membuka balutan simen sebelum masa yang ditetapkan. Andai kesakitan yang tidak dapat ku tahan terasa, maka aku akan membalutnya semula. Sekaligus terpaksa membatalkan hasrat untuk menanyakan keperluan jawatan kosong di Majlis Agama ISLAM Negeri Sembilan di bahagian Baitul Mal ketika ini.

Doa kalian diharap-harapkan agar diri ini terus kuat dan tabah menelusuri hari-hari mendatang dengan semangat yang segar.

Kata Muthaqqaf : Terus berharap kepadaNYA...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, October 11, 2009

|| Bukan Milik Kita ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Nampak gayanya Bagan Pinang yang merupakan kubu kuat UMNO masih bukan milik kita. Rakyat yang merupakan pengundi telah menentukan pilihan mereka. Mereka lebih cenderung untuk memilih calon yang popular dan dikenali ramai tanpa melihat terlebih dahulu dari aspek lain yang telah mencemari ciri-ciri seorang pemimpin yang sepatutnya dipilih.


Selain Jentera Pilihanraya PAS perlu menilai dan membuat analisa sepenuhnya mengenai kecenderungan para pengundi yang beralih arah, rakyat jelata umumnya juga perlu melihat dengan lebih telus adakah begini masa hadapan negara kita. Menghalalkan perkara yang jelas diharamkan oleh ALLAH berkenaan dengan rasuah yang seolah-olah dipandang sepi.

Dalam masa yang sama, andai dilihat saban hari sebelum hari pembuangan undi PAS dan Pakatan sentiasa diburuk-burukkan oleh media tali barut BN/UMNO yang menjadi hidangan rakyat Malaysia setiap hari. Tidak hairanlah mereka mempergunakan jentera atas nama kerajaan Malaysia dengan sebaik mungkin sehingga menghalalkan yang haram, menanggalkan demokrasi yang menjadi 'laungan takbir' selama ini.


Sekaligus menidakkan laungan 1 Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' hanya demi kepentingan survival politik sempit mereka yang semakin berpecah menanti belah. Juga kenyataan yang mengatakan seolah-olah hanya BN/UMNO yang mampu membawa agenda perpaduan, kemajuan dan pembangunan menafikan parti-parti lain gagal untuk mentadbir negara.

Rakyat Malaysia semakin menuju ke arah masyarakat yang cerdik dan bijak dalam membuat pilihan. Bahkan semakin bijak menimbang sesuatu berita yang disampaikan oleh media yang dieksploitasi oleh kerajaan pemerintah sahaja. Diskriminasi terus berlaku tanpa memberikan ruang sedikit pun kepada parti-parti dalam Pakatan untuk bersuara.

Namun di celah-celah timbunan intan yang berkilau, ada juga kaca yang sudah sebati dengan pengamalan kerajaan sedia ada sekaligus berpandangan hanya kerajaan sedia ada sahaja yang mampu mentadbir Malaysia walaupun terlibat dengan rasuah, politik wang dan bermacam lagi kejahatan yang disembunyikan.


Moga masih ada sinar kejayaan dan kemenangan yang menanti suatu masa nanti apabila kebangkitan menegakkan ISLAM, keadilan dan kebenaran menjadi tunjang dalam diri.

Tahniah kepada sahabat-sahabat pemuda, para petugas dan para pemimpin PAS yang berjuang bertungkus lumus demi membawa suara ISLAM dan ciri-cirinya dihayati bersama. Meski kita kalah pada kali ini, mungkin ada hikmahnya yang ALLAH dah tentukan untuk penghayatan kita di masa mendatang.

Kata Muthaqqaf : Sesungguhnya setiap helaan nafas yang kalian hembuskan semasa berjuang membantu ISLAM dilihat oleh ALLAH sebagai helaan amal bakti sebagai bukti tatkala bertemuNYA kelak. Semoga setiap amalan yang menuju redhaNYA mendapat perhatian yang sewajarnya. FI RI'AYATILLAH!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, October 09, 2009

|| Titipan Semangat - Undilah PAS! ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Sekali dengar tiap bait lagu ini dinyanyikan, begitu indah sekali. Dalam kesedihan diri ini tidak dapat sama-sama membantu sahabat-sahabat seperjuangan di Bagan Pinang, namun diri ini akur. Selepas ini masih banyak lagi siri-siri perjuangan yang memerlukan diri ini untuk meluangkan masa, tenaga dan jiwa demi merealisasikan misi 'ISLAM Memimpin perubahan' dinikmati semua.

Tiada lain yang mampu ku titipkan di kejauhan ini. Hanya titipan doa dan kata-kata juang agar kalian terus thabat, sabar dan berkobar-kobar demi memastikan ISLAM terus bertahkta di hati masyarakat. Seterusnya menjadi pilihan untuk menjulang kedaulatan ISLAM supaya sentiasa berada di puncaknya.

Justeru itu, untuk kalian semua ku titipkan sebuah lagu yang bukan sekadar lagu. Akan tetapi sebagai azimat buat diri para pejuang ALLAH sekalian dalam menempuh kejahatan orang-orang kafir, fasiq, munafiq bahkan umat ISLAM itu sendiri yang tidak ingin melihat ISLAM berdiri tertegak.

Hiasilah diri kita semua dengan sebahagian dari sifat mahmudah yang merupakan qudwah hasanah dari RASULULLAH SAW sebagai panduan mengharungi liku-liku perjuangan yang penuh duri. Maaf kerana tidak berkesempatan bersama kalian dalam membantu perjuangan jihad fi sabilillah yang amat-amat dinantikan oleh semua. Salam perjuangan!

SIFAT MAHMUDAH - Hijjaz

Chorus
Inilah sebahagian Sifat Mahmudah
Yang patut ada pada diri kita
Susah dimiliki payah dijaga
Hanya yang punya
Yang bermujahadah (2x)

IKHLAS itu jiwa yang murni
Rahsia
ALLAH di dalam hati
Terlalu sembunyi tapi dapat dikesan
Jika disuluh dengan saksama
Nista dan puji tiada berbeza

REDHA sifat hati yang suci
Ujian yang tiba rasa gembira
Atau tiada apa terasa
Kerna menerima anugerah Tuhannya (2x)

Sifat SABAR sedikit berbeza
Ujian yang menimpa sakit dirasa
Tapi dapat ditahan perasaannya
Hanya bermain di dalam sahaja
Di luar tidak nampak terang nyata


Kata Muthaqqaf : Inilah cabaran dalam memperjuangkan ISLAM. Tiada yang mudah. Tiada yang goyang kaki. Segalanya memerlukan ketahanan fizikal, mental, iman dan takwa merantai jiwa dan atma merintis jalan-jalan syahid di hadapan. Moga ALLAH memandang usaha kita ini dalam timbangan rahmat dan redhaNYA.

Undilah PAS untuk kesejahteraan sejagat demi memastikan ISLAM kembali di persada. ALLAHU AKBAR!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, October 08, 2009

|| Sebelum Terlewat ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Ingatan dan pesanan kepada seluruh umat ISLAM, saudara-saudara seakidah yang cintakan ALLAH, cintakan RASULULLAH SAW dan cintakan ISLAM yang dibawa oleh Baginda SAW untuk melaksanakan puasa sunat 6 Syawal. Ianya bukan sunat yang biasa akan tetapi sunat muakkad iaitu sunat yang digalakkan.

Perlaksanaan amalan-amalan sunat ini bukan sekadar tuntutan, bahkan ianya dilihat sebagai penampung kepada amalan wajib yang dilaksanakan andai berlaku kekurangan dan kelompongan yang mengurangi fadhilat di dalamnya.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada RASULULLAH SAW di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun.” (Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti At-Tirmizi, An-Nasaie dan Ibnu Majah)


Imam As-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam At-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”


Berbaki 10 hari lagi sebelum memasuki bulan Zulkaedah, segerakanlah melaksanakannya untuk menguatkan iman dan menambahkan tanda kecintaan kita kepada ALLAH dan RASULNYA. Seterusnya meningkatkan kesabaran dan keimanan kita untuk berhadapan dengan liku-liku cabaran dalam menegakkan ISLAM di atas muka bumi ALLAH ini.

Rujukan Quran dan Sunnah melalui Forum ukhuwah.com klik pada link untuk penjelasan lebih terperinci.

Kata Muthaqqaf : Jangan lewat-lewatkan sesuatu perkara, kelak apabila ianya berlalu penyesalan sudah tidak berguna lagi. Beraya beraya juga. Ibadah kena tingkatkan juga. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Moga perjuangan akan lebih manis apabila ditambat ikatan cinta kepada ALLAH dan RASULNYA. FI RI'AYATILLAH!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa